Monday, February 16, 2009

Temerloh Seharum Syurga


Sekiranya kamu semua lekapkan telinga rapat ke tanah, Kamu semua akan terdengar secebis bunyian dari syurga.

Bunyi yang dimaksudkan itu hampir sama dengan bunyi air sungai yang mengalir.

Aku tak tahu sekiranya ia berlaku serupa kepada kamu yang berada di luar daerah kami, tapi di Temerloh, arus Sungai Pahang itu, mengalir terus ke dalam darah kami. Sebagai warganya, aku bangga lahir di sini.

Walaupun Temerloh masih lagi berbau desa dan bukan pula lokasi tumpuan para pelancong. Jadi, kepada sesiapa yang dengan secara tak sengaja telah 'tersinggah' di sini, maka ada baiknya pergi ke Esplanade terlebih dahulu sebelum balik. Alami sendiri keindahan Kuala Semantan.

Minggu lepas, kawan-kawan datang dari Kuala Lumpur , walaupun membesar di Temerloh, tapi mereka dah lama tak balik. Setelah dibawa ke Esplanade, ramai yang terkejut. Temerloh semakin mempesonakan.

Seorang kawan ikhlas membuat kenyataan yang dia tak pernah naik bot. Aku memang tak bagi peluang. Aku terus memperlekehkan status dia sebagai anak Temerloh.

"Kau belum pernah naik bot selama kau tinggal di Temerloh ni?"

Aku soal dia, sebenarnya aku pun tak pernah naik. Saja keluarkan soalan macam tu biar dia rendah diri.

"Kau tahu, kalau kita berada di atas bot tu, getaran enjinnya akan buat jantung kita rasa mengelegak" Aku siap reka-reka cerita lagi pasal kehebatan naik bot yang aku pun belum pernah naik tu. :lol:

Kami akhirnya bersetuju, sewa bot cuma RM20 , kami meluncur laju di permukaan sungai. Sebagai orang Temerloh, aku tak tahu langsung betapa cantiknya sungai Pahang pada waktu petang. Kilauan cahaya yang bermanik-manik seperti tasbih itu bagaikan boleh disentuh dengan jari.

Dan paling aku tak tahu, pada tiang kaki jambatan patah ada terconteng perkataan XPDC. Ramai orang tak tahu. Sesekali pergi esplanade bolehlah cuba sendiri pengalamannya. Dan jangan lupa bawa kamera.



n651687585_2100481_8747
Hanya orang buta huruf sahaja yang tak dapat melihat keangungan tulisan Temerloh.




2397127317_72b53a6ab3jpg-jpeg-image-500x343-pixels_1234731092810
Esplanade yang memukau.
dsc_0190_view
Bot Rm20 untuk satu pusingan besar menjelajah sungai Pahang.


2485743659_054903bb11
Temerloh pada waktu senja.

Dan jangan lupa untuk mencuba rasa gulai Ikan Patin yang sebenar. Sebab Temerloh memang dikenali dengan nama timangan: Bandar ikan Patin.


Kuala Semantan


Jikalau aku seorang pujangga,
Akan ku puisikan tanahmu seharum nyawa.


Jikalau aku seorang pelukis,
Akan ku potretkan permandanganmu seindah syurga.


Jikalau aku seorang penyair,
Akan aku nyanyikan lagumu semerdu burung.


Tapi aku bukan mereka.
Aku cuma wargamu yang kecil dan tak punya kuasa.


Namun kau seharusnya tahu,
Kau adalah aku.
Kerana kau adalah nyawaku.


Kilauan kristal pada arus Semantan.

Segunung lebih agung dari Nil mahupun Gangga.

Sekali angin menghembus Beringin dan jati tua,

Nyamannya terasa sepanjang usia.


Dari atas jambatan itu,

Kulihat pelangi tersenyum padamu.

Pulau yang membelah Sungai Pahang,
Melambai pulang di saat ku jauh.
Pasti kau sudah tahu sekarang,
Kau adalah aku.
Kerana kau adalah nyawaku.


2 comments:

  1. koi satu je panas ngan temerloh,

    pusat snooker sikit..!!

    ReplyDelete
  2. snooker sikit pun ada bagusnya jugak,
    tu yang susah nak dapat table tu la pasal temerloh ramai yg terrer main snooker

    nak tak nak .. kena la main terrer2 sikit.

    ReplyDelete