Thursday, September 23, 2010

Raya Reunion Gigs ( big john edition )

0



Sekarang Temerloh dah lain ...
Temerloh dulu tercemar teruk dengan kesunyian 
Temerloh dulu murung  seperti tanah kuburan
Ternyata Mini gigs secara bersiri sepanjang tahun telah berjaya merubah Temerloh
menjadi kandang rock n roll 

Seperti yang dijanjikan
:raya reunion gigs:  Upacara tradisi tahunan 
Kita cuba menghimpunkan semua kugiran tanah patin di dalam satu sarang

12 band - rm3 adalah harga di tingkat khayalan.

Almost illegal ... Pemilik sarang berhaluan hardcore


Kalau dulu setiap oksigen yang  dihirup bernada sepi dan diam
kini  warga patin sudah fasih bertutur bahasa petir

Paloh ( Rotgut ) mahaguru bahasa petir
STP yang lama menyepi

Di sinilah kita dapat melihat belantara sebenar
crowd yang melompat buas seperti singa lapar : http://www.youtube.com/watch?v=FRjnEMyj3Yc
dan moshing seperti serigala liar : http://www.youtube.com/watch?v=_r_t7wlIHLg




Seperti yang kami maklumkan tentang menghimpunkan band dalam satu sarang.......
Tak kira baru atau lama ,
Semuanya bersama-sama berkongsi gelanggang

yang junior macam ~ Pulling T
Yang senior macam ~nebulizer

tak kira jinak atau  buas 
Semuanya bersama-sama berkongsi gelanggang

yang sepatutnya jinak macam ~ rootstalk (tapi dah makin metal pulak)

yang buas macam ~ naked weapon


Setiap tahun , semakin menyerlah
band juga dah semakin membiak
dari bilik sempit kita berpindah ke ruang lebih selesa bagi menampung kapasiti manusia
Semoga mitos scene muzik  temerloh terus membesar atas satu dasar : UNITY

yang jarang cukup line up tapi akhirnya berjaya unite semula macam ~ the grass

yang jarang dapat unite bersama macam ~ BDK

yang cuba belajar unite walaupun tak cukup line up macam ~ Soul Savior

yang hari-hari unite di pasar malam ~ GSW

yang unite dari jerantut macam ~ attach cholera



khabar paling buruk buat kesunyian,
Kerana Patin Rock city dalam pertemuan
Dan tradisinya adalah kebingitan


Terima kasih untuk semua yang menjayakan ....terutama kepada crowd
tahun depan kita jumpa lagi .... CHEERS ~!!!!!


sekadar gambar hiasan

TJ riot ~
fredo dengan crowd-crowd upahan

Friday, September 10, 2010

Raya tahun kelmarin hanyalah semalam

0





Batas yang menjarakkan dua titik
berlalu bagaikan sungai yang mengalir deras
Waktu bergilir datang dan pergi
Ku selusuri turun-naik tangganya bagaikan tak terasa


Seperti kalungan rantai
setiap hari itu adalah manik-manik mutiara
dan Aidil Fitri itu adalah berlian yang menjadi  loketnya

Ia datang lagi,
Sungguh, ku rasakan tahun kelmarin hanyalah semalam
ketika aku menikmati cookies yang dibakar oleh cik Ainunl 
mendengar lagu soldier of fortune dendangan big john  
dan saat getir mohd Azlan membakar rentung baju Melayuku
bersorak girang dalam  keramaian rock n' roll
berberapa detik sesudah ku lahap patin-patin terakhir

Aku tak tahu mencoret erti hari raya mengikut kaca mata para ambia
Sememangnya aku belajar dari kehidupan
Ia memang hari yang berbeza
Pagi hening dalam kesayuan
menghambat rasa  maaf dan syukur

SELAMAT HARI RAYA

Di kesempatan ini
Aku ucapkan selamat hari raya
kepada semua teman-teman yang aku kenal secara peribadi ,
mahupun teman-teman yang ku kenal lewat alam virtual

Aku memohon maaf dan ampun andai ada tersilap kata,
terkasar bahasa
atau membuatkan sesiapa rasa tersinggung
maklumlah kadang-kadang tersasul,
kadang-kadang tercabul
bukan maksud aku nak jadi cabul, tapi cabul tu sendiri yang nak jadi aku 

Sekali lagi minta maaf,  Zahir dan batin 
berhati-hati di jalan raya, 
semoga anda selamat tiba
dengan ucapan Selamat hari raya dari EON untuk semua

Monday, August 9, 2010

Dewi Bulan yang direjam dengan Lembing Apollo

0

Biasanya , kalau hari Jumaat, memang aku rehat lama sikit.
Pergi sembahyang. 
Tak tahu apa yang pelik sangat pada pemikiran bos aku .
Agaknya dia ingat aku curi tulang kot ? Rehat lama-lama.
Ada sekali dia tanya: “Lu percaya sama tuhan ka?”

Pelik bunyinya soalan boss aku . “Kenapa?”.
Aku jawab balik soalan dia dengan soalan aku sendiri pulak.

“Lu orang melayu, bukan sembah itu bulan ka?” 
Dia tanya lagi tanpa segan silu. Dia nampak yakin dengan soalan dia. 
Mukanya langsung tak ada tanda-tanda rasa bersalah.

“Mana ada sembah bulan” aku jawab balik dengan rasa pelik. Ajaran sesat mana pulak yang rasuk boss aku ni sampai tiba-tiba tanya soalan macam ni. Selama ni tak pernah pun.


“Bukan lu Melayu punya orang mau hari raya mesti mau tengok bulan?” Sungguh ikhlas sekali bunyi soalan dia ni. Terus aku dapat tangkap paras intelektual dia.

“Ohhh ! sebab tu ke? 
Bukan ma, kitorang melayu ikut calender Arab. Orang putih ikut pusingan matahari, kitorang ikut pusingan bulan.Kalau mau raya mesti mau tengok bulan dulu, sudah pusing habis ke belum.”

Sebenarnya aku pun jawab ikut belasah je. Aku bukan tahu sangat pun. 
Tapi tahan sikitlah daripada dia yang selama ni sangka, orang Islam ni sembah bulan. Bunyi macam pagan je.

“Itu macam ka? Tapi saya aa, sudah tak percaya tuhan lagi. Saya sembahyang pun pasal adat saja.”

Wah ! Terus penasaran aku . Biasanya , dialah yang pagi-pagi pergi bakar colok kat tokong. Aku ingatkan alim, munafik rupanya.

“Dulu orang Amerika hantar roket pergi bulan, tak ada jumpa sama kita punya tuhan. kita aa, Cina punya org percaya bulan sana ada dewi duduk. itu dewi serupa tuhan la.”

Aku biarkan aje tauke aku dengan fahaman agnostik dia tu. Mungkin teori ketuhanan dia secara individu je.

Pasal paras kejahilan dia tentang agama Islam tu, aku ibaratkan sama macam kejahilan aku tentang dewi bulan tu juga. Kalau dia tak cerita, aku pu tak tahu pasal agama dia ada tuhan tinggal kat bulan.




* * *
Aku balik rumah. Terus buka internet.

Nak persiapkan diri , aku nak google cerita pasal Dewi Bulan tu. Lain kali , kalau ada orang cina lain tanya soalan sama, aku dah prepare jawapannya. Aku tahu sikit-sikit pasal tuhan mereka.


Dan yang aku jumpa adalah mitos purba kehidupan dewa-dewi menurut kepercayaan orang Cina. Aku syak betullah kot .... Dan Mengikut wiki..






Di syurga,ada pasangan bernama Houyi dan isterinya benama Cheng’e. Seperti juga hidupan lainnya di syurga, mereka adalah immortal. 
Maknanya laki-bini kebal dan tak boleh mati.

Tetapi keseluruhan territori syurga berada dibawah perintah oleh Yù Huáng (maharaja jed). 

Pada suatu ketika, 10 orang anak Maharaja Jed telah bertukar menjadi matahari. Aku kurang pasti tujuan mereka jadi matahari tu , akan tetapi ... Secara tak langsung bumi jadi sangat panas.

Houyi si suami itu telah diperintahkan untuk memnggil pulang anak-anak Maharaja jed. 
Dia menganggap itu tugas yang mudah je . lagi[un Houyi memang terkenal sebagai pemanah terhebat di syurga.

Dia pun menyasarkan dengan tepat pada 9 biji matahari yang semua panahannya membuatkan matahari itu terpadam.
( kononnya 1 lagi yang tertinggal adalah matahari yang kita nampak hari ni )

Maharaja Jed jadi sangat marah bila dapat tahu cara Houyi menyelesaikan masalah. apatah lagi 9 biji matahari yang terkorban itu adalah anaknya sendiri.

Akibat amarah yang tak tertanggung, dia dengan kemurkaan seorang tuhan besar yang juga penghulu surga telah menarik balik kuasa immortal pasangan suami-isteri itu sebelum mencampakkan mereka ke bumi.

Kecewa sebab kehilangan kuasa immortal, Houyi telah menjelajah serata bumi . Kononnya di Bumi pun ada pil immortal. 

Akhirnya berkat usaha gigih berjaya juga dia mendapatkannya. Diberikan sendiri oleh Queen mother of the west yang bermastautin di gunung kura-kura.

Diberikannya sebiji pil. Tapi kalau dikerat dua pun , sudah cukup untuk menjadikan orang yang memakannya sebagai immortal. jadi kuantiti 1 tu dah cukup untuk dia makan laki bini.

Houyi menyimpan pil itu ke dalam satu uncang dan membawanya pulang. 
Sesampai di rumah, dia keletihan mahu mandi, dia berpesan kepada isterinya, agar jangan dibuka uncang itu . 

Namun isterinya Cheng’e tak patuh pada perintah, malah dia membuka uncang dan segera ternampak pil immortal tersebut. 

Namun tiba-tiba suaminya yang selesai mandi kembali. Dari derapan bunyi langkah suaminya itu membuatkan Cheng’e jadi kaget. Panik.

Tanpa fikir panjang disorokkan pil itu didalam mulutnya, yang kemudiannya secara tak sengaja dia telah tertelan pil immortal tersebut.

Kerana kuasa pil melebihi kadar sukatan. Maka Cheng’e jadi overdose. Tubuhnya terapung ke udara.

Houyi yang menyedari ada sesuatu yang tak kena berusaha memaut isteri dari terus terapung.
Namun tidak berjaya.
Houyi yang kehabisan akal mahu tak mahu terpaksa menggunakan anak panah untuk mengelakkan isterinya dari terus terapung, tapi tak sampai hati. Kerana cinta. 

Cheng’e terus terapung tinggi sehingga mendarat di bulan. Kuasa immortalnya membuatkan dia terus kekal berada di situ Sehingga ke hari ini.

* * *

Boleh tahan romantiknya cerita tu. Macam satu chapter dalam hikayat 1001 satu malam. Kisah tu mungkin tamat sebagai sebuah kisah yang agak sedih. 

Tapi sambungan mitos tu lebih menyedihkan. Sifat ketuhanan Dewi tersebut telah dipanah oleh roket Amerika bernama Apollo 11.. Damn you America !!
dan penjelajahan angkasalepas NASA telah membunuh kepercayaan agama Bos aku... 


Cerita ni dah 2 tahun lepas . Aku cuma repost balik je.
Mengingatkan kembali pada soalan "hari raya mesti nak tengok bulan" maka aku terus teringatkan pasal bulan puasa :



Maka aku mengambil kesempatan ni nak ucapkan pada kawan-kawan semua
Selamat berpuasa di bulan Ramadhan 


Thursday, August 5, 2010

Caci-makiku kepada iblis bernama Adolf Hitler, semoga takkan ada diktator sepertinya lagi sampai bila-bila...

2



Aku berbual dengan seorang manusia yang darjat pemikirannya setaraf lembu, tapi berlagak macam pemegang ijazah PhD dan aku amat terperanjat apabila membaca tesis beliau yang mengagung-agungkan Adolf Hitler melebihi keagungan para nabi dan para rasul.
Beliau bagaikan menganggap tokoh parti politik Nazi itu sebagai pembela agama Islam.

Maka aku katakan "Takkan dah habis semua tokoh Islam di dunia ini sampai kamu memilih si bodoh ini dijadikan tajuk?"
Beliau ketawa dan bertanya apa yang aku ketahui tentang Hitler.



Aku lalu menjawab bahawa Hitler itu bukan manusia tapi iblis yang tak berhati perut. Dia bertanggungjawab mencetuskan perang dunia yang mengorbankan berjuta-juta nyawa tak berdosa.

Malah tentera Fasis Jepun yang menyerang tanahair kita juga adalah sekutu rapatnya. Manakala satu lagi sekutunya di Eropah, fasis Italy berperanan memerangi negara islam seperti Libya dan Mesir.

Berjuta-juta nyawa orang awam terkorban hanya kerana dia gila kuasa serta mahu menunjuk-nunjuk kekuatan bangsa Jerman melebihi bangsa-bangsa lain dalam bidang militari.

Adakah itu gambaran seorang TOKOH ISLAM ?

Oleh kerana aku tak nampak sebarang pahala dalam mengagung-agungkan seorang pembunuh, maka sebarang usaha untuk meletakkan Hitler sebagai penegak agama Islam adalah semata-mata usaha bangang. 





Lalu dia berkata : " Baiklah, pihak British telah melakukan lebih dahsyat dari itu...pihak Jepun semasa zaman Emperor mereka juga sama...tapi kenapa dunia hanya menghukum Hitler dan meletakkan kesalahan malahan memburukkan nama Nazi seolah-olah Nazi masih wujud hari ini sedangkan mereka melupakan kesalahan pihak British kepada Scotland, pihak Jepun kepada dunia dan pihak Afrika Selatan kepada kaum kulit hitam mereka?"

HANYA KERANA DUNIA MEMBURUKKAN NAZI TAPI TAK MEMBURUKKAN JEPUN ?
LOGIKKAH ITU JADI ALASAN UNTUK MENGAGUNGKAN HITLER ?
SERIUS AKU TAK FAHAM !!!! 





Daripada ungkapanya itu aku tahu tingkat pemikirannya berada pada darjat paling rendah.
Jika tingkat kebodohannya itu dilukis dalam carta pai bentuk nasi, maka kebodohan dia ini berada di lapisan kerak paling bawah.

Lalu aku cuba membalas soalannya dengan bahasa yang mudah dan tidak begitu sulit , sesuai dengan paras IQ beliau yang rendah luarbiasa:

"Hanya kerana kamu yang lupakan kekejaman tentera British, Jepun dan Apartheid di Afrika Selatan, itu tak bermakna orang lain ikut lupa."

"Masih ramai orang yang masih mengenang kekejaman kolonial/fasis seperti itu.
Mana-mana penakluk yang membunuh peribumi atas nama meluaskan empayar sama hinanya dengan ideologi Nazi.
Cubalah keluar dari tempurung. Semua sejarah yang kau katakan itu memang keji.
termasuk juga perang-perang lain yang menghalalkan genocide seperti penjajahan zionisme Israel dan perang Bosnia
Dan di Rwanda,
dan kemboja dan macam-macam perang lagi,
Semuanya ada dalam lipatan sejarah-sejarah hitam. Aku tak pernah lupa" 




ini cuma sedikit dari mangsa-mangsa perang dunia yang dicetuskan Hitler dalam kempen dakwahnya di Eropah



Aku lantas meminta alasan dari beliau. Beliau menyambung : "Ada dua sebab -


1. Prinsip Hitler berkaitan Yahudi, Zionisme dan penubuhan negara Israel. Hitler telah melancarkan Holocaust untuk menghapuskan Yahudi kerana beranggapan Yahudi akan menjahanamkan dunia pada suatu hari nanti.

2. Prinsip Hitler berkaitan Islam. Hitler telah belajar sejarah kerajaan terdahulu dan umat yang lampau, dan beliau telah menyatakan bahawa ada tiga tamadun yang terkuat, iaitu Parsi, Rome dan Arab. Ketiga-tiga tamadun ini telah menguasai dunia satu ketika dulu dan Parsi serta Rome telah mengembangkan tamadun mereka hingga hari ini, manakala Arab pula lebih kepada persengketaan sesama mereka sahaja. Beliau melihat ini sebagai satu masalah kerana Arab akan merosakkan Tamadun Islam yang beliau telah lihat begitu hebat satu ketika dulu.






Nah , di sinilah rahsia KEISLAMAN Adolf Hitler rupanya...
Aku cuba untuk tidak ketawa kerana khuatir beliau akan berasa kecil hati diperlekehkan di atas alasan-alasannya yang langsung tak intelek . Lalu jawabku :


1. Hanya kerana Hitler menghapuskan bangsa Yahudi maka dia seorang yang pejuang Islam?
Bagaimana dengan kerajaan-keraan kuno yang lebih dahulu memerangi Yahudi?
Contohnya Kerajaan Roman yang melemparkan Yahudi ke dalam kandang singa dalam sukan gladiator.
Atau Firaun yang lebih dahulu pernah melancarkan pembasmian bayi-bayi Yahudi, menangkap mereka dan dijadikan hamba abdi ?
Kenapa tak dibuat saja tesis bertajuk

FIRAUN TOKOH PEJUANG ISLAM


Bukankah itu kelakar kerana Firaun dan Hitler , kedua-duanya kejam dan bukan penganut agama Allah.


2. Dan prinsip Hitler berkaitan agama Islam dari tamadun Parsi, Rome dan Arab.
kenapa cuma ceritakan 3 tamadun itu sahaja??
Kenapa mesti sembunyikan fakta-fakta lainnya ??

Sesuatu yang perlu kamu tahu tentang Hitler, dia bukan seorang ahli agama.. dia seorang ahli politik yang cuba mencari pengaruh dengan apa-apa cara sekalipun termasuk mengeksploitasi sifat fanatik manusia terhadap agama





Setahu saya Hitler juga pengkagum ajaran Confucius dan Buddha juga. Yang dilihatnya sebagai pemberi semangat.
Dan juga lambang Swastika yang diambilnya dari agama Hindu.
Malah Hitler pernah berkata dia adalah seorang katolik dan akan kekal sebagai katolik.




Dan Hitler paling kagum pada agama orang-orang jepun yang sanggup berkorban nyawa untuk tanah air.
Tahukah kamu kapal terbang Nazi menggugurkan beribu-ribu keping pamplet ramalan Nostradamus tentang kemunculan dirinya.

"In the year that is to come soon, and not far from Venus.
The two greatest ones of Asia and Africa.
Shall be said to come from the Rhine and Hister [Hitler]
Crying and tears shall be at Malta on the Italian Shore."

Mungkin Hitler adalah satu-satunya tokoh ISLAM yang percaya pada ramalan dan tilik nasib ?


Hitler bertemu dengan ulamak semata-mata bagi melobi sokongan untuk mencapai cita-citanya menakluk Eropah



Hitler bertemu pula dengan paderi

Kepada ulamak dia akan gunakan sentimen anti-semitik umat islam agar menyokong perjuangan tentera jerman.

Dan kepada pembesar agama kristian , dia akan menggunakan alasan fitnah orang2 yahudi yang membuatkan Jesus terkorban di tiang salib..

Hitler memang manusia Ular.. lidah bercabang










dan ada banyak lagi di google dan youtube..


ANTARA GAMBAR-GAMBAR PROPAGANDA DENGAN CAPTION :

Beliau juga telah meberi peluang kepada tentera German yang beragama Islam untuk menunaikan solat ketika masuk waktu di mana jua...bahkan tentera German pernah bersolat di dataran Berlin dan Hitler ketika itu mennggu sehingga mereka tamat solat jemaah untuk menyampaikan ucapan beliau...

Okay !! kamu memang buta sejarah... ini gambar tentera Bosnia bukan tentera NAZI ..tengok topi pun dah tau lain.
Dalam Perang Dunia ke-2 , Bosnia adalah sekutu Jerman .. Hanya kerana Hitler membenarkan Askar Islam Bosnia bersolat, tidaklah bermakna hitler itu seorang tokoh Islam.
George Bush juga membenarkan tentera amerika beragama Islam untuk bersolat adakah George Bush juga seorang tokoh Islam ?



Ya, Hitler tidak pernah menjamah arak sepanjang hayat beliau...minuman kebiasaan beliau ialah teh menggunakan uncang khas...aku tak pasti tentang menu nazi, tapi bolehkah kamu buktikan yang Hitler tak makan BABI ?


Bukanlah tujuan penulisan ini untuk memburukkan mana-mana agama..

PERLU DIFAHAMI ,NAZI ADALAH SEBUAH PARTI POLITIK YANG TAK MEWAKILI MANA-MANA AGAMA ..
NAZI ADALAH SATU IDEOLOGI RADIKAL HALUAN KANAN - ULTRA RIGHT- YANG MENCARI PENGARUH DENGAN CARA MENYALAKAN API PERKAUMAN



Penulisan ini bukan untuk mencela semata-mata , tetapi bertujuan untuk menyingkap fakta yang disembunyikan bagi mengelakkan kekeliruan dan kemungkinan wujudnya islam baru bermazhab Hitler.
Semoga kita semua beroleh manfaat.