Sunday, October 4, 2009

Jika mimpi masa silam ku simpan dalam kaca jadi perhiasan - ELLA

0

Untuk menembus tembok masa silam., aku harus membakar api ingatan sampai rentung.

Biarpun terpaksa menuangkan cairan insulir ke dalam tekak.
Kemudian mengelupur berberapa minit persis kerasukkan setan.
Sebelum kehabisan energi lalu rebah ke lantai .... menderita pitam .

Lagu-lagu kesunyian bergelumang di segenap ruang.
Ku biarkan drama-drama berwarna polaroid berkumpul di kotak fikiran.
Berputaran silih berganti.
Dan suara-suara masa lampau terus rencam menjerit.

Aku bangkit perlahan-lahan..
Amnesia  telah merompak sebahagian besar memori .
Tapi aku masih di sini mengutip catatan-catatan hidup yang lama tercicir.






Ya! Aku memang pernah menjadi seorang anak kecil .
Comel dan riang.
Figura bocah yang menghadirkan perasaan geram untuk didukung.

Kadang-kadang rimas juga bila semua orang berebut-rebut nak dukung aku.
Terutama 4 orang kakak-kakak aku.
Atau 6-7 lagi jiran-jiran perempuan yang sebaya kakak aku.

Tapi bukanlah semua dukungan itu kosong tanpa tujuan.

Misalnya pada malam fun fair.
Malam pesta untuk gadis era awal 80an melepas rindu dengan sang kekasih pujaan hati.
Kakak aku sering minta kebenaran ibu untuk membawa aku ke sana , kononnya untuk behibur ...

Tak lebih dari sekadar helah untuk mereka keluar malam bertemu teman lelaki.
Cinta juga ada taktikal politik, pecah dan perintah .

Memang membosankan.
Walaupun kakak memegang tangan aku, tapi sebenarnya dia langsung tak menghiraukan aku.
Perhatiannya tertumpu 100% pada  lelaki hodoh yang jalan berdampingan dengannya.
Sedangkan aku lebih teruja pada stage kecil yang sedang hangat dengan bunyi rock n roll.

O yeah !! Aku kenal kugiran yang sedang beraksi tu.
Ella and The Boys.
Mereka selalu masuk URTV, tu sebab aku kenal.

Aku lepaskan tangan kakak aku.
Aku kata nak tengok Ella.
Dan dia pesan, jangan pergi jauh-jauh. nanti dia susah nak cari.

Menghala ke depan stage bukanlah tugas mudah.
Tubuh kecil aku terpaksa meredah lautan manusia.
Dan paling sukar sekali adalah melepasi  halangan para martyr mabuk yang sedang berjoget beruk.
Malam tu aku tercegat depan pentas sampai habis persembahan.
Bebola mataku bercahaya mengkagumi Ella.

Bila show dah habis, ada sekumpulan mamat-mamat selekeh yang kelelahan berjoget beruk menuju ke belakang stage.
Aku  ikut sekali.
Nak tengok kalau-kalau mereka nak sambung joget kat belakang stage pulak.

Rupa-rupanya tak.
Mereka semua sedang menggatal nak bersalam dengan Ella.
Puas bouncer tolak mereka pergi.
Padahal Ella buat tak tahu je sampailah saat dia ternampak kelibat aku.

Ella hulurkan dua belah tangan teruja nak dukung aku.
Maklumlah aku kan comel dan manja.
Cuma aku tak berani.
Takut sebab Ella tu artis. Muka dia selalu masuk TV.
Jadi ku terus lari cari kakak aku.

Cerita tu berlaku  mungkin lebih 20 tahun dulu.
Sekarang Ella dan tak bersama The Boys lagi.
Manakala aku telah membesar dan bertambah comel.

Cuma tinggal satu tanda tanya .....

Sekiranya Ella berjumpa aku sekarang ..
adakah dia masih menyimpan perasaan untuk mendukung aku ?