Monday, February 16, 2009

Temerloh Seharum Syurga

2

Sekiranya kamu semua lekapkan telinga rapat ke tanah, Kamu semua akan terdengar secebis bunyian dari syurga.

Bunyi yang dimaksudkan itu hampir sama dengan bunyi air sungai yang mengalir.

Aku tak tahu sekiranya ia berlaku serupa kepada kamu yang berada di luar daerah kami, tapi di Temerloh, arus Sungai Pahang itu, mengalir terus ke dalam darah kami. Sebagai warganya, aku bangga lahir di sini.

Walaupun Temerloh masih lagi berbau desa dan bukan pula lokasi tumpuan para pelancong. Jadi, kepada sesiapa yang dengan secara tak sengaja telah 'tersinggah' di sini, maka ada baiknya pergi ke Esplanade terlebih dahulu sebelum balik. Alami sendiri keindahan Kuala Semantan.

Minggu lepas, kawan-kawan datang dari Kuala Lumpur , walaupun membesar di Temerloh, tapi mereka dah lama tak balik. Setelah dibawa ke Esplanade, ramai yang terkejut. Temerloh semakin mempesonakan.

Seorang kawan ikhlas membuat kenyataan yang dia tak pernah naik bot. Aku memang tak bagi peluang. Aku terus memperlekehkan status dia sebagai anak Temerloh.

"Kau belum pernah naik bot selama kau tinggal di Temerloh ni?"

Aku soal dia, sebenarnya aku pun tak pernah naik. Saja keluarkan soalan macam tu biar dia rendah diri.

"Kau tahu, kalau kita berada di atas bot tu, getaran enjinnya akan buat jantung kita rasa mengelegak" Aku siap reka-reka cerita lagi pasal kehebatan naik bot yang aku pun belum pernah naik tu. :lol:

Kami akhirnya bersetuju, sewa bot cuma RM20 , kami meluncur laju di permukaan sungai. Sebagai orang Temerloh, aku tak tahu langsung betapa cantiknya sungai Pahang pada waktu petang. Kilauan cahaya yang bermanik-manik seperti tasbih itu bagaikan boleh disentuh dengan jari.

Dan paling aku tak tahu, pada tiang kaki jambatan patah ada terconteng perkataan XPDC. Ramai orang tak tahu. Sesekali pergi esplanade bolehlah cuba sendiri pengalamannya. Dan jangan lupa bawa kamera.



n651687585_2100481_8747
Hanya orang buta huruf sahaja yang tak dapat melihat keangungan tulisan Temerloh.